DISEMBER 2022

Sarawak Pelawa Pelabur Indonesia Jalin Kerjasama Industri Perabot


KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengalu-alukan pelabur daripada Indonesia untuk melabur dalam industri perabot atau industri berasaskan kayu.

Beliau berkata, kerjasama itu boleh dilakukan sama ada secara sendirian atau usaha sama mahupun rakan kongsi dengan industri tempatan.

“Industri perabot di Indonesia yang sudah berkembang maju dan berjaya menembusi pasaran antarabangsa boleh mengembangkan lagi industri itu dengan menanam modal di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sijil Tamat Latihan SayD’Signers Sarawak (SARADEC) di Bandung. Teks ucapan beliau diedarkan kepada media di sini, hari ini.

Berdasarkan laporan Kajiselidik dan Pasaran Amerika Syarikat pada tahun 2022, katanya nilai pasaran perabot dunia berjumlah USD945 bilion setahun menjelang tahun 2030 berbanding hanya USD637 bilion setahun pada tahun 2021,

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata, pasaran produk buluh termasuk perabot buluh adalah bernilai USD6.9 bilion setahun pada 2022 dan nilai pasarannya dijangka meningkat kepada USD12.4 bilion setahun pada 2032 berdasarkan laporan ‘Future Market Insights Global dan Consulting, AS 2022’.

Dengan ini, potensi untuk pasaran produk perabot sangat luas, katanya.

Awang Tengah berkata, Sarawak yang kaya dengan sumber hutan tropika yang diurus dengan lestari mampu mengeluarkan produk kayu termasuk perabot yang boleh mendukung kedudukan sebagai salah satu pengeluar terbesar di pasaran eksport.

Sumber bahan yang mencukupi pasti dapat menyokong pelaksanaan program SayaD’Signers dan mendorong pengeluaran produk kayu berkualiti secara berterusan, tambahnya.

Sarawak, katanya, seperti juga Indonesia mampu mengeluarkan perabot dengan rekaan kreatif bermotifkan gabungan pelbagai budaya dan tradisi tempatan menggunakan bahan kayu pelbagai spesis yang unik dan eksotik.

Oleh itu katanya, Sarawak dan Indonesia adalah sangat sesuai dijadikan sebagai hab reka bentuk di rantau ini, tegas beliau.

Beliau menambah, Kerajaan Sarawak merancang membangunkan Taman Perabot di dua kawasan iaitu Kuching dan Tanjung Manis bagi membantu perkembangan industri perabot tempatan selain menarik pelaburan.

Melalui pelan Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030, Sarawak mensasarkan untuk mencapai nilai eksport tahunan bagi produk perkayuan termasuk preabot sebanyak RM8 bilion setahun menjelang 2030, katanya.

Dengan pemindahan ibu kota Indonesia ke Nusantara di kepulauan Borneo akan memberi lebih banyak peluang kepada Sarawak untuk meningkatkan hubungan dan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk sektor pelancongan, pendidikan, perubatan dan pelaburan, tegas beliau.

Sumber dari : Jiwa Bakti